klik disini

Tuesday, March 15, 2011

Tsunami Akal dan Budi di Tanah Air Sendiri

Lori beras terbalik.Orang ramai berpesta mengaut beras ‘percuma’ di Lebuhraya.Pemandu lori yang parah mengerang dengan luka yang dihurung lalat meminta bantuan.Kelindan lori terbiar hingga mati di tepi jalan.
Saya cuba untuk menghadam laporan kejadian lori beras terbalik di KM394 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Tanjung Malim bulan lalu. Apakah yang difikirkan oleh pengaut beras itu? Adakah mereka lebih miskin daripada penghuni pondok yang makan siput babi beberapa tahun lalu di siaran Bersamamu TV3? Jika tidak lama dulu orang ramai berkejaran mengutip duit syiling yang bertaburan akibat kemalangan di Lebuhraya yang sama, kali ini beras dikaut untuk habuan makan, membiarkan mangsa di tepi tanpa tindakan peri kemanusiaan.
Kebingungan.
Seperti ada satu ‘petanda besar, bagai ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan perilaku masyarakat kita kebelakangan ini.
11 Mac 2011, seluruh penduduk dunia terkejut.
Sesuatu yang tidak pernah dicatat oleh sejarah, Pantai Timur Laut Jepun dilanda gempa bumi paling dahsyat berukuran 8.9 pada skala Richter. Gegaran yang begitu dahsyat mengundang bencana yang paling menakutkan iaitu gelombang Tsunami. Tanpa berlengah, ombak setinggi 10 meter menghempas pantai dan menyapu segala yang berdiri di muka bumi, ‘tanpa belas kasihan’.
Tidak pasti apa yang mahu diungkap, selain berdoa agar kejadian itu tidak mengulangi penderitaan kesan Tsunami di Sumatera pada Disember 2004 yang lalu apabila lebih 200 ribu nyawa terbunuh di sekeliling pantai Lautan Hindi. Gelombang Tsunami kali ini menggoncang perairan Lautan Pasifik hingga melimpahkan kesannya ke perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia, serta Sabah dan Sarawak.
Subhanallah!
Hanya pernah sekali menjejakkan kaki ke bumi Jepun, kenangan di bumi Ibaraki, menambah ‘rasa terkait’ dengan apa yang berlaku apabila gempa bumi dan Tsunami turut memusnahkan kawasan yang indah dan permai itu.
Namun kesedihan dan debar menyaksikan satu demi satu laporan berita di media, terpukul oleh beberapa siri laporan berita media tempatan yang membingungkan.

TAHAP KEPRIHATINAN KITA
Belum pun reda gegaran dan deruan ombak ganas Tsunami di Jepun, Buletin Utama di TV3 sudah berbincang tentang implikasi bencana besar di Jepun itu kepada pasaran saham di Tokyo serta akibatnya kepada kedudukan pasaran saham global termasuk Kuala Lumpur. Tanpa sensitiviti yang paling minima atas dasar kemanusiaan, Dato Mukhriz Tun Mahathir menyatakan harapannya agar Jepun segera memulihkan keadaan ekonomi serta pasaran sahamnya dan mudah-mudahan ia tidak berjangkit ke pasaran saham di negara kita.
Tatkala kenyataan rasmi Perdana Menteri tidak kedengaran, laporan ala kadar terhadap bencana luar biasa ini terus dihalakan pada soal ekonomi. Bukan ekonomi Jepun, tetapi kepentingan negara kita, rakan niaga tradisi negara matahari terbit itu!
Mulia sungguh hati rakan ini.
Apa sudah terjadi?

KOSMO! AHAD
Menyelak akhbar di pagi Ahad, sekali lagi kita kebingungan.
Kosmo Ahad 13 Mac 2011 di halaman 3, menyiarkan berita Ratu Pornografi Jepun, Maria Ozawa terselamat daripada malapetaka gempa bumi dan Tsunami itu.
Dalam ramai-ramai tokoh daripada kalangan rakyat Jepun, Miyabi pula yang jadi pilihan.
Bimbang benar dengan kehilangan ikon penting ini.

BERITA HARIAN
Diselak pula akhbar Berita Minggu 13 Mac 2011 di halaman 24, kartunis Zoy melukis kartun Ultraman yang lari bertempiaran dikejar ombak Tsunami gergasi 11 Mac lalu. Entah apa yang cuba diterjemahkan melalui lakaran itu, ia pantas melahirkan betapa rendahnya moral kita hingga kejadian bencana sedahsyat itu, dilakar sebagai bahan senda gurau tanpa sedikit pun mempertimbangkan perasaan sekalian manusia, Jepun atau tidak Jepunnya mereka, berkenaan jurnalisma terencat jiwa ini.
Apakah semua ini?
Neo-journalism versi apakah ini?

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...